Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata kesemua tiga lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 26 hingga 55 tahun itu ditahan di Terengganu, Johor dan Selangor hasil risikan Bahagian Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.
"Selain pegawai tersebut, mereka yang ditahan adalah peminjam yang bekerja sebagai peniaga dan suri rumah.
"Polis turut merampas 15 keping kad mesin juruwang automatik (ATM) dan enam unit telefon bimbit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata pihaknya pada 28 Jan lepas telah menerima laporan daripada pengurus institusi kewangan terbabit yang mendakwa ditipu dalam urusan pembiayaan peribadi yang dipohon oleh tujuh pelanggan bernilai lebih RM1 juta.
Bagaimanapun, setelah pembiayaan diluluskan kesemua suspek yang didapati menyamar sebagai penjawat awam sewaktu membuat permohonan gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanan.
"Hasil audit dalaman institusi kewangan tersebut mendapati suspek telah mengemukakan dokumen dan data yang telah dipalsukan," katanya.
Beliau berkata kesemua suspek kini direman antara dua hingga empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau juga mengesahkan pihaknya akan membuat beberapa lagi tangkapan selain rampasan wang atau aset dalam kes berkenaan.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)