KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu semua penjawat awam yang dipertanggungjawabkan dengan tugas tertentu supaya mengambil perhatian terhadap isu yang menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata mereka perlu mengurangkan kerenah birokrasi dengan mempermudahkan proses untuk memastikan sesuatu perkara dapat diselesaikan, terutamanya dalam menangani isu infrastruktur dan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.

"Semua projek yang telah diluluskan untuk manfaat rakyat mesti dilaksanakan secepat mungkin. Saya mahu anda semua bersikap proaktif dan peka terhadap keperluan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata kerajaan negeri telah merangka strategi pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat dan berjaya meningkatkan hasil negeri kepada RM7 bilion tahun lepas melalui inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Beliau berkata inisiatif mesra pelaburan telah menarik pelaburan ke Sabah dan bukti kejayaan ini dapat dilihat apabila Taman Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) kini diduduki sepenuhnya, manakala Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) hampir mencapai kapasiti penuh.

Selain itu, beliau berkata, Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas telah membolehkan Sabah mendapat manfaat daripada industri minyak dan gas, di samping kerajaan negeri sedang berunding untuk mendapatkan lebih banyak bahagian dan faedah bagi negeri ini.

"Ini adalah pencapaian yang belum pernah dicapai sebelum ini dan momentum ini mesti diteruskan dengan sokongan serta usaha semua pihak," katanya.

Ketua Menteri turut memaklumkan Jemaah Menteri Negeri telah meluluskan pengambilan lebih ramai tenaga profesional, terutamanya jurutera yang diperlukan di Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Air Negeri.

Beliau berkata pengisian jawatan tersebut sedang berjalan di kedua-dua jabatan bagi memastikan kecekapan kerja terjamin.

"Dengan pengambilan kakitangan ini, diharapkan masalah seperti gangguan bekalan air dan lain-lain dapat diselesaikan," katanya.

Hajiji turut meminta laporan lengkap dan segera daripada Jabatan Air mengenai masalah kekurangan bekalan air di Sandakan, memandangkan hanya satu daripada tiga loji rawatan air yang beroperasi.

"Pemegang konsesi mesti menunaikan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam kontrak bagi membekalkan air kepada pengguna di daerah tersebut atau berdepan tindakan," katanya.

-- BERNAMA