REMBAU: Penunggang motosikal maut selepas melanggar bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan akibat tayar pancit di lorong kecemasan di kilometer 222.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, kejadian pada jam 8.45 malam itu membabitkan motosikal Yamaha LC ditunggang mangsa, Muhammad Ikmal Abdullah, 21 dengan sebuah lori dipandu lelaki berusia 27 tahun.

"Siasatan awal mendapati, mangsa dalam perjalanan dari arah Senawang menghala ke Ayer Keroh, Melaka.

"Sebaik sampai di tempat kejadian motosikal ditunggangnya telah hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang lori yang sedang meletakkan kenderaannya di lorong kecemasan kerana tayar hadapan kiri pancit," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya, akibat kemalangan itu, penunggang jatuh di atas jalan dan maut di tempat kejadian kerana parah di kepala manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat. Siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - Sinar Harian