LONDON: Penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dilihat membuka laluan yang lebih mudah untuk perdagangan dan pelaburan bersama Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sesuatu perkembangan yang positif apabila sesebuah kerajaan Inggeris bersetuju untuk menyertai perjanjian tersebut.

"Tetapi satu perkara yang menarik juga kerana pelaburan Malaysia di UK nampak meningkat agak tinggi.

"Ini kerana keyakinan kerajaan Inggeris dan syarikat swasta serta badan-badan kerajaan terhadap keupayaan syarikat  untuk membantu menjana pertumbuhan serta pelaburan yang bermakna.

"Dengan CPTPP itu maknanya penyertaan, kontrak, profesional dan barangan itu lebih mudah dibawa dari Malaysia dan dalam pertemuan kita dengan Tenaga Nasional Berhad, YTL Group dan Gamuda Bhd, yang melabur di sini, kita tekankan supaya mengambil kira pulangan kepada Malaysia.

"Keduanya, beberapa kontrak dan barangan itu harus diimport dari Malaysia," katanya dalam sidang media bersama delegasi Malaysia sempena lawatan kerja beliau ke UK pada Jumaat malam waktu tempatan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, dalam pertemuan bersama rakan sejawatannya Keir Starmer, Perdana Menteri UK itu juga melahirkan rasa kagum terhadap keupayaan syarikat-syarikat Malaysia yang mampu bersaing denagn syarikat-syarikat tempatan dalam mendapatkan tender-tender projek.

Mengambil contoh projek YTL Group, Perdana Menteri berkata, projek pembangunan bersepadu syarikat itu dianggar menjana potensi eksport berjumlah RM1.1 bilion dalam lima tahun akan datang.

UK secara rasmi menyertai CPTPP pada 15 Disember tahun lalu, menjadikannya negara Eropah pertama menyertai blok perdagangan Asia-Pasifik.

Sementara, perjanjian CPTPP telah berkuat kuasa ke atas Malaysia pada 29 November 2022.