KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa sektor swasta dan syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menilai penglibatan pekerja wanita di peringkat pengurusan tertinggi, yang disifatkan sebagai masih terlalu kecil.

Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri akan meminta perkara itu diberikan perhatian dan mendapatkan laporan mengenai penglibatan wanita.

Jelas Anwar, kerajaan tidak boleh memaksa sektor swasta, namun ia perlu memiliki perancangan yang teliti.

“Saya telah gesa bahawa sektor swasta, harus ada pertanggungjawabannya. Sektor swasta, terutama syarikat-syarikat besar, dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan harus mulai membuat penilaian.

“Syarikat swasta dari segi penyertaan wanita (peringkat tertinggi) itu agak parah kerana penyertaan mereka yang sangat minimum.

“Dari segi peluang latihan saya sebut, sekarang dari segi dasar negara kita tekankan transformasi digital,” kata Perdana Menteri.

Beliau berucap sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2025 yang bertemakan “Wanita Beraspirasi, Membina Legasi” di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

[TERKINI] Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2025 di Dewan Merdeka WTC


Ketika ini sektor swasta merekodkan sekitar 26 peratus penglibatan wanita dalam pengurusan tertinggi, berbanding sektor awam kira-kira 38 peratus.

Di sektor awam pula, Anwar telah meminta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar agar mencari jalan meningkatkan kedudukan wanita dalam pengurusan tertinggi, setimpal dengan keupayaan mereka.

Jelas Perdana Menteri, walaupun terdapat peningkatan wanita dalam pengurusan tertinggi di sektor kerajaan tetapi ia masih boleh diperbaiki.

“Kita tidak pilih wanita itu kerana kebetulan kerana dia wanita.

“Kita pilih kerana mereka mempunyai peluang dan kewibawaan dengan prestasi yang cemerlang. Dan mereka tidak harus disisihkan, atau ditinggalkan semata-mata kerana kebetulan adalah wanita,” ujar Anwar.

Perdana Menteri turut menekankan,  penyertaan wanita dalam arena politik khususnya sebagai calon dan wakil rakyat, perlu ditingkatkan.

Ketika ini, ujar beliau bilangan wanita dalam Dewan Rakyat hanya sekitar 14 peratus, dengan sasaran nasional sekurang-kurangnya adalah 30 peratus.