Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain berkata dalam perhimpunan itu terdapat dua pihak yang menyokong dan menentang pelantikan Yang Dipertua Negeri Sabah yang baharu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 atas kegagalan menghantar notis pemberitahuan yang lengkap kepada pihak polis, dan kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Sabah pada 10 Feb lepas.
"Hari ini Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan ke atas kedua-dua penganjur. Polis akur dan menerima baik keputusan itu," katanya dalam kenyataan malam ini.
Razarudin berkata pihaknya menjalankan siasatan secara adil dan saksama berhubung kes terbabit.
Mengulas lanjut, beliau berkata berlandaskan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah dan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan sama ada memulakan, menjalankan atau memberhentikan sebarang prosiding adalah tertakluk di bawah bidang kuasa peguam negara.
Razarudin berkata kerajaan juga telah memutuskan untuk meminda dan menambah baik Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) selaras dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Hari ini media melaporkan Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan dan memberhentikan prosiding terhadap individu yang terlibat dalam kes perhimpunan tanpa notis kebenaran terbabit selaras dengan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.
Pada 31 Dis tahun lepas, Bernama melaporkan kecekapan pihak polis mengawal perhimpunan Gempur Rasuah Sabah dan Himpunan Bangkit Sabahan yang berlangsung serentak, berjaya memastikan kedua-dua perhimpunan itu berlangsung dalam keadaan aman.
Kedua-dua perhimpunan itu dijadualkan berlangsung di tempat dan masa yang sama iaitu di hadapan Menara Kinabalu pada 2 petang, dan turut diadakan Karnival Ria di kawasan sama pada hari itu.
-- BERNAMA
