Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif memaklumkan, pihaknya telah mengeluarkan notis supaya dihentikan ketika masih dalam tempoh pembinaan, namun tidak dipatuhi.
Menurutnya, susulan itu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan kompaun terhadap pihak i-City pada 14 November 2024.
"Permainan ini belum dapat kelulusan beroperasi. Mereka (i-City) perlu menghantar permohonan kebenaran merancang (KM) dan permit sementara.
"Pihak i-City dikompaun kerana tidak membuat permohonan kelulusan sebelum beroperasi. Ada notis untuk henti ketika pembinaan tetapi tidak patuh, jadi MBSA keluarkan kompaun.
"Tindakan notis henti kerja dan kompaun dikeluarkan pada 14 November tahun lalu. Permainan ini akan diminta menghentikan operasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai insiden pelampung permainan gelongsor air kaca setinggi 60 meter (m) dan sepanjang 600m di Menara SkyCity, i-City dipercayai terjatuh dan menimpa pengunjung.
Menerusi video berdurasi 15 saat itu turut memaparkan mangsa menangis dan mengadu kesakitan selepas ditimpa pelampung terbabit.
Perkara itu mencetuskan kebimbangan orang ramai dan mempersoalkan tahap keselamatan permainan di taman tema tersebut. - Sinar Harian