Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz yang menetapkan tarikh itu berkata permohonan berkenaan akan didengar pada 2.30 petang.
"Mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan lisan sebelum atau pada 11 April dan hujahan balasan sebelum atau pada 23 April," kata hakim itu pada pengurusan kes hari ini.
Prosiding itu dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan dan Peguam Persekutuan Ainna Sherina Saipol Amin yang mewakili Peguam Negara selaku responden ketiga serta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang bertindak bagi pihak Najib.
Pada 20 Jan lepas, AGC memfailkan permohonan perintah larangan bersuara atas alasan kes berkenaan menyentuh isu sensitif.
Pada 6 Jan lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 telah mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran mengenai meritnya selepas membenarkan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman.
Najib, 71, memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan dokumen tambahan itu yang bertarikh 29 Jan tahun lepas.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah jika dokumen tambahan itu wujud maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Datuk Amarjeet Singh yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman memutuskan bahawa empat afidavit menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin semata-mata dan tidak boleh diterima sebagai bukti dalam mahkamah.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib. Lembaga Pengampunan bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
-- BERNAMA
