Ringkasan AI
- Mahkamah Persekutuan menetapkan 17 April untuk mendengar permohonan PKR bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan bayaran bon Datuk Zuraida Kamaruddin daripada RM10 juta kepada RM100,000 kerana melanggar syarat bon parti.
- PKR memfailkan rayuan pada 8 Januari untuk mengembalikan semula keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta. Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bahawa Zuraida melanggar syarat bon tetapi mengurangkan jumlah bayaran.
- Pada 2020, Setiausaha Agung PKR memfailkan saman mendakwa Zuraida melanggar bon yang ditandatanganinya, yang menghendaki beliau membayar RM10 juta jika meletak jawatan dalam parti, menyertai parti lain, atau menjadi wakil rakyat bebas. Zuraida mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon tersebut.
Peguam PKR Navpreet Singh yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Husna Dzulkifly menetapkan tarikh berkenaan pada sesi pengurusan kes, Isnin lepas.
Beliau berkata semua pihak terlibat diarahkan mengemukakan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 2 April dan satu lagi sesi pengurusan kes akan diadakan pada 7 April untuk mengemas kini pematuhan kepada arahan mahkamah.
PKR telah memfailkan rayuan pada 8 Jan lepas untuk mengembalikan semula keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kerana melanggar syarat bon.
Pada 11 Dis tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk See Mee Chun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Zuraida telah melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti, namun mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada hanya RM100,000.
Pada 23 Jun 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Zuraida yang juga bekas Ahli Parlimen Ampang membayar RM10 juta selepas memihak kepada PKR dalam saman yang dikemukakan terhadapnya.
Hakim Datuk Akhtar Tahir mendapati bon terbabit ialah kontrak yang sah dan mengikat.
Pada 2020, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail memfailkan saman bagi pihak parti dengan mendakwa Zuraida melanggar bon yang telah ditandatanganinya.
Antara terma dan syarat bon itu, Zuraida dikehendaki membayar RM10 juta dalam tempoh tujuh hari sekiranya berlaku beberapa kejadian selepas memenangi pilihan raya atas tiket PKR termasuk jika beliau meletak jawatan dalam parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Zuraida dalam pembelaannya mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon dengan parti untuk menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
-- BERNAMA