GEORGE TOWN: Perpustakaan Digital Islam Pulau Pinang (PIDL) kini ditempatkan di Kuliah Syariah dan Undang-Undang, Universiti Al-Azhar, Mesir.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata beliau kini bersama delegasi kerajaan negeri berada di universiti itu bagi majlis perasmian penempatan PIDL yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Beliau berkata PIDL merupakan sebuah projek khas oleh kerajaan negeri bagi memenuhi objektif Visi Penang 2030 dan dikelolakan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang bagi melengkapkan rangkaian perpustakan digital di negeri ini.

"Dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) November lepas, saya telah menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa Teras Pendidikan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) dengan menempatkan PIDL di Kuliah Syariah dan Undang-Undang, Universiti Al-Azhar, Mesir.

"Ini bertujuan untuk kita mempromosi Pulau Pinang melalui PIDL dan mengadakan kerjasama dengan perpustakan Al-Azhar, di samping memperkasakan agenda digital negeri ini," katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dalam kenyataan malam ini.

Mohamad berkata penempatan PIDL di Kuliah Syariah dan Undang-Undang, Universiti Al-Azhar merupakan hadiah Kerajaan Pulau Pinang kepada universiti berkenaan.

Beliau berharap kemudahan itu dimanfaatkan sebaiknya seterusnya membina kerjasama erat antara Pulau Pinang dengan Universiti Al-Azhar bagi pembangunan agama Islam di Pulau Pinang dan diharapkan agar segala perbincangan yang dibuat bersama sebelum ini dapat dimuktamadkan sebaiknya.

-- BERNAMA