SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan untuk meneruskan perbicaraan terhadap empat pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak.

Hakim Datin Surita Bidin membuat ketetapan itu selepas rundingan pihak pendakwaan yang menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 377E Kanun Keseksaan iaitu melakukan suatu kelucahan melampau ditolak pihak pembelaan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu membabitkan Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 22, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 21, Muhammad Fawzun Azim Ismail, 21, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 23.

Jika sabit kesalahan, masing-masing boleh dipenjara 20 tahun dan boleh juga disebat.

Peguam Datuk Hanif Hassan dan Muhammad Wajih Zakwan Hanif yang mewakili keempat-empat tertuduh kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.

Terdahulu, Surita meminta kepastian sama ada perbicaraan akan dijalankan secara bersama atau berasingan terhadap tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi berkata beliau masih belum sempat merujuk perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara berikutan baru menerima maklumat berhubung penolakan pertuduhan pilihan oleh pihak pembelaan semalam.

"Kes ini melibatkan mangsa yang berbeza dan saya percaya perlu dijalankan secara berasingan, untuk arahan perbicaraan bersama itu belum lagi kerana sebelum ini kita dalam tempoh rundingan dan saya baru dapat maklumat semalam pihak pembelaan menolak pertuduhan pilihan," katanya.

Mahkamah kemudian membuat keputusan menangguhkan prosiding perbicaraan dan menetapkan 19 Mac depan sebagai tarikh sebutan dengan kehadiran Timbalan Pendakwa Raya yang akan mengendalikan kes tersebut berserta senarai saksi.

Pada 19 Sept tahun lepas, media melaporkan tiga lelaki yang sebelum ini ditahan dalam Op Global yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki di sebuah madrasah di Kuala Pilah antara 2022 dan 2023.

-- BERNAMA