Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) Nivas Ragavan berkata peruntukan itu juga mempamerkan komitmen kerajaan dalam memastikan tiada komuniti yang ketinggalan.
"Pembiayaan julung kali ini, yang terbesar sejak Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dimulakan pada 2008 akan secara signifikan memberikan faedah kepada usahawan India di seluruh negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Peruntukan merangkami RM50 juta untuk skim pembiayaan SPUMI Goes Big dan RM50 juta lagi bagi SPUMI, diumumkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan, semalam.
Ramanan dilaporkan berkata kedua-dua inisiatif itu dijangka memberikan manfaat kepada hampir 5,000 usahawan India tahun ini dengan membantu mereka mengembangkan perniagaan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Nivas berkata KLSICCI bersedia untuk bekerjasama dengan TEKUN Nasional dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan kejayaan pelaksanaan skim-skim berkenaan sekali gus merangsang pembangunan komuniti usahawan India yang teguh dan berdaya tahan.
Beliau berkata pihaknya telah secara konsisten memainkan peranan penting dalam memudah cara Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dan selaras dengan perkembangan terkini itu, mereka komited untuk membantu para usahawan dalam proses permohonan, latihan dan tadbir urus dengan pembuat dasar bagi memastikan sokongan berterusan kepada komuniti perniagaan India.
"Kami menggesa semua perniagaan mikro India yang layak untuk merebut peluang ini dengan menghantar permohonan mereka menerusi laman web TEKUN Nasional atau hadir ke pejabat TEKUN berdekatan," katanya.
-- BERNAMA