Tujuh bidang itu merangkumi kecerdasan buatan, transformasi digital, keselamatan siber, peralihan tenaga, keterjaminan dan teknologi makanan, persempadanan negara serta pengurusan bencana yang menjadi fokus Kerajaan MADANI seperti ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 (MAPPA-19) pada tahun lepas.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, 28 kementerian terbabit diberi kelonggaran mengenal pasti pegawai yang perlu diberikan latihan dan bidang yang harus dikembangkan dalam kementerian masing-masing.
"JPA salurkan kepada 28 kementerian kerana mereka lebih mengetahui apa bidang diperlukan di kementerian masing-masing berdasarkan tujuh bidang tujahan baharu. Cadangan itu perlu dikemukakan kepada JPA untuk penilaian agar tidak lari daripada hasrat sebenar," katanya dalam sesi temu bual, di sini, pada Jumaat.
Wan Ahmad Dahlan berkata, sebagai contoh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan bidang teknologi makanan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bidang pengurusan bencana dan Kementerian Digital (KD) bidang transformasi digital.
"Menjadi hasrat kerajaan agar kemahiran dan pengetahuan pegawai awam setanding dengan konsultan luar bagi mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada kepakaran luar sekali gus menjimatkan perbelanjaan negara," katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata, JPA yakin pasukan perkhidmatan awam bergerak ke arah yang dihasratkan kerajaan dengan pendedahan lebih intensif untuk penjawat awam.
Beliau berkata, sejak tahun lepas, JPA melalui program Accelerated Course for Competency Excellence (ACE) atau kini dikenali Program Pembangunan Kepakaran dan Perunding Kerajaan (PRESTIJ), telah menghantar 88 pegawai awam mengikuti latihan selama enam bulan di empat negara iaitu United Kingdom, Australia, India dan China.
Beliau berkata, para pegawai yang mengikuti program itu akan kembali ke Malaysia untuk menjadi tenaga pengajar pula yang akan menghasilkan 'snowball effect' kepada perkhidmatan awam.
"JPA mempunyai perancangan agar pegawai-pegawai 'project paper' mendapat pengiktirafan daripada tempat mereka belajar untuk 'present' dan mengumpulkan pegawai daripada setiap kementerian mendengar idea yang boleh dibawa ke kementerian lain (bagi penambahbaikan)," katanya.
Beliau berkata, bagi tahun ini, JPA akan meneruskan lagi program itu dengan menyediakan 140 slot peserta dengan beberapa penambahbaikan termasuk mengadakan program latihan secara hibrid agar lebih ramai pegawai mendapat peluang.
Selain itu, JPA melalui 15 program penajaan di Bawah Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang lain termasuk Program Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), Program HLP Separa Biasiswa secara dalaman dan lain-lain akan terus memfokuskan bidang pengajian yang diperlukan negara.
Wan Ahmad Dahlan berkata, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang juga di bawah seliaan JPA turut menawarkan kursus latihan dalam tujuh bidang tujahan baharu kepada penjawat awam.
"Untuk tujuh bidang tujahan baharu, kumpulan pelaksana perlu tahu agar ada satu kesinambungan. Saya mahu ada 'frame of reference' sama antara pegawai pelaksana dan pengurusan tertinggi," katanya.
Untuk rekod, sebanyak 41 kursus berkaitan tujuh bidang tujahan baharu telah dilaksanakan pada 2024 dengan penyertaan sebanyak 112,657 peserta daripada pelbagai peringkat. - BERNAMA