SHAH ALAM: Biarpun disahkan menghidap kanser kolon atau usus tahap empat sejak dua minggu lepas, ia tidak mematahkan semangat Dr Anis Mardiana Abdullah hadir bagi mengambil skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Konvokesyen ke-95 Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Anis Mardiana, 45, yang kini tidak boleh berdiri dalam tempoh lama akibat daripada penyakit yang dihadapinya itu, tetap menggagahkan diri untuk berdiri ketika menerima skrol PhD dalam bidang pengangkutan dan logistik daripada Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Ibu satu anak itu berkata beliau tidak mahu menyusahkan pihak universiti untuk menolaknya di atas kerusi roda, selain mahu cuba bertahan untuk berdiri pada hari bersejarahnya.
Katanya, beliau turut tidak menyangka namanya dipilih sebagai penerima Anugerah Hadiah Buku Inovasi Malaysia Technology Development Corporation (MTDC).
"Masa saya belajar (PhD), saya tidak mempunyai simptom yang teruk hanya tangan yang menggeletar ketika menulis, yang saya sangka ia disebabkan stress.
"Lepas tamat belajar, saya membuat pemeriksaan dan mendapati saya menghidapi kanser tiroid. Tetapi, disebabkan kesihatan saya bertambah teruk, saya pergi membuat pemeriksaan lanjut dan doktor sahkan saya ada kanser kolon tahap empat," katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen di sini hari ini.
Tambah Anis Mardiana, beliau akan menjalani pembedahan berkaitan penyakitnya itu pada minggu hadapan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras, Kuala Lumpur.
"Kalau ikut kata doktor sudah lama penyakit ini, tetapi, kita tidak rasa sakit. Saya berharap pembedahan berjalan lancar," kata wanita yang tidak lekang senyuman di bibirnya.
Sementara itu, penerima Ijazah Sarjana Perubatan Patologi dan Anatomi Dr Siti Shakinah Sobri, 36, berkata walaupun sedang menunggu hari bagi melahirkan anak sulongnya, wanita itu tetap tidak mahu melepaskan peluang hadir pada istiadat konvokesyen tersebut.
Beliau yang kini bertugas di bahagian patologi Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis itu berkata pada awalnya, hasrat menghadiri istiadat itu dihalang suaminya.
"Kandungan sekarang sudah 36 minggu, tetapi saya mahu datang juga sebab mahu berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan (rakan sarjana).
"Asalnya suami tidak bagi sebab sedang sarat mengandung, tetapi dia temankan juga saya pada majlis hari ini," katanya.
Terdahulu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana Perubatan kepada 116 graduan.
Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 (Sesi Disember 2021) berlangsung pada 26 Nov sehingga 21 Dis 2022 dengan menyaksikan seramai 31,220 graduan, akan menerima sijil penganugerahan ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), di sini.
-- BERNAMA
Bernama
Sat Nov 26 2022

Anis Mardiana, 45, kini tidak boleh berdiri dalam tempoh lama akibat daripada penyakit yang dihadapinya. - Gambar/ Bernama
MOTAC ingatkan orang ramai waspada laman sesawang palsu
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengingatkan orang ramai berwaspada dengan laman sesawang palsu yang menyamar sebagai platform rasmi kementerian itu bagi carian syarikat pelancongan berlesen.

Pengangkutan awam Jerman tergendala susulan kebuntuan rundingan gaji
Mogok yang bermula pada 3 pagi (0200 GMT) itu menjejaskan perkhidmatan pengangkutan awam di beberapa negeri.

Jemaah menteri perlu terbuka terima kritikan, perbaiki kelompongan - PM Anwar
Anwar turut mengingatkan Jemaah Menteri mengenai perlunya kesatuan dan kebersamaan sekali gus berfungsi sebagai sebuah kerajaan MADANI.

Sidang kemuncak pemimpin Arab bermula di Riyadh di sebalik perancangan pembangunan semula Gaza
Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak peringkat tinggi di Riyadh.

TFC, Kuching City seri 2-2 di SSMZA
TFC terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat 2-2 oleh Kuching City FC dalam aksi Liga Super 2024/2025.

Kerajaan Jepun luluskan RUU tembakan kecemasan untuk haiwan berbahaya
Pindaan rang undang-undang ini bertujuan untuk membolehkan respons yang lebih cepat dan berkesan berbanding langkah sedia ada.

Jabatan Kesihatan Melaka tingkat pemantauan, saringan langkah awal kekang kusta
"Setakat ini tiada kes dikesan dalam kalangan penduduk Orang Asli di negeri ini melibatkan 14 perkampungan dengan lebih 2,000 penduduk."

Hubungan dua hala Bangladesh-Malaysia diperkukuh pada Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa
Ahsan menyifatkan Malaysia sebagai model keharmonian dalam kepelbagaian komuniti linguistik.

Teknologi robotik pacu sektor pelancongan kesihatan di Melaka
Upaya memacu sektor pelancongan kesihatan yang menjadi satu daripada subsektor penting dalam industri pelancongan negeri.

Penantian veteran ATM hampir dua tahun dapat rumah baharu berakhir
Shamsudin Hamzah terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan rumah baharu kerana keadaan tanah di kawasan itu dari jenis gambut.

Pesakit kanser tahap 4 genggam PhD
Biarpun disahkan menghidap kanser kolon atau usus tahap empat, ia tidak mematahkan semangat Anis Mardiana Abdullah hadir bagi mengambil skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD).