JOHOR BAHRU: Seorang pesara Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu, atas 89 pertuduhan menipu membabitkan pelbagai kerja perolehan di Kem Kapal Diraja (KD) Sultan Ismail yang berjumlah lebih RM1.07 juta, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Haizad Ismail, 43, mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan itu selepas dibacakan oleh dua jurubahasa mahkamah selama dua jam 30 minit di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan 89 kertas pertuduhan, bekas penjawat awam itu didakwa menipu Kapten TLDM, Shaiful Fadzli Ismail, 50, sebagai Pegawai Memerintah KD Sultan Ismail dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa pelbagai kerja perolehan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera, KD Sultan Ismail telah selesai dilaksanakan.

Perbuatan itu didakwa dengan curangnya mendorong Shaiful Fadzli untuk memperakukan pembayaran keseluruhannya berjumlah RM1,070,100 kepada 10 syarikat yang mana beliau tidak akan memperakukan pembayaran itu jika tidak diperdayakan.

Semua perbuatan didakwa dilakukan ketika tertuduh bertugas sebagai Ketua Bahagian Logistik dan Material di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih dibuat di pejabat bahagian itu di Kota Tinggi dekat sini, pada 29 November 2023 dan satu dibuat pada 23 Oktober 2023.

Bagi semua pertuduhan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jumlah jaminan RM180,000 bagi semua pertuduhan dihadapi tertuduh.

Peguam Nur'ain Shahiera Khalid mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah lebih rendah.

"Isteri tertuduh juga seorang suri rumah akan menjadi penjamin kepada tertuduh. Tertuduh mempunyai lima orang anak berusia antara tujuh hingga 17 tahun dan semuanya masih bersekolah.

"Tertuduh baharu sahaja bersara pada 2 Januari lalu selepas berkhidmat selama lebih 24 tahun dan kini, satu-satunya sumber pendapatan tertuduh adalah pencen bulanan sebanyak RM4,000, namun perlu menanggung isteri, anak serta ibunya selain bapa tiri yang menghidap asma," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan keseluruhan jumlah RM39,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 15 April depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. -- Sinar Harian