KUALA LUMPUR: Program Jejak Harmoni yang diadakan di ibu negara pada Sabtu menjadi platform menyemai nilai keharmonian apabila lebih 200 peserta pelbagai agama dibawa mengunjungi beberapa rumah ibadat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berharap, program ini tidak menjadi bahan sensasi atau dipolitikkan kerana ia bukan melibatkan sebarang aktiviti keagamaan.

“Program ini bertujuan meningkatkan persefahaman antara masyarakat berbilang agama dengan menekankan konsep hormat-menghormati bagi mengekalkan keharmonian, ia diadakan sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia 2025,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan, di sini, pada Sabtu.

Program anjuran Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara itu dimulakan dengan lawatan ke Masjid Al Hidayah di Sentul.

Kemudian mereka berjalan ke rumah ibadah agama lain termasuk Gereja Katolik St Joseph, Kuil Hindu Ahthi Eeswaran, Vihara Buddha Sri Lanka dan Gurdhwara Sahib Sentul.

Di setiap hentian itu, para peserta diberi taklimat oleh pihak pengurusan rumah ibadat terbabit untuk perkongsian nilai yang diajar agama masing-masing.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan agar masyarakat tidak menjadikan kebebasan bersuara sebagai alasan untuk menghina kepercayaan agama lain kerana ia hanya mengundang perpecahan.

Rentetan itu, beliau berkata, kerajaan akan terus meningkatkan program sedemikian agar lebih ramai dapat menyebarkan mesej keharmonian Insiatif Harmoni MADANI ini.