Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan akan memastikan sumber tenaga elektrik negara dapat dibekalkan dengan mencukupi secara lestari dan pada kadar harga mampu ditanggung oleh pengguna.
"Kerajaan masih mengekalkan arang batu sebagai sumber penjanaan elektrik yang utama disebabkan oleh kos penghasilan tenaga elektrik daripada arang batu masih lagi termurah dan ini adalah penting bagi memastikan kadar harga mampu ditanggung oleh pengguna," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika ini, sektor penghasilan elektrik Malaysia masih bergantung kepada dua sumber bahan api fosil utama iaitu gas dan arang batu untuk memenuhi permintaan baseload iaitu campuran tenaga terdiri daripada 55 peratus arang batu dan 32 peratus gas.
Selaras dengan peralihan tenaga, Fadillah berkata sektor elektrik masih memerlukan bekalan gas yang tinggi bagi tujuan penjanaan elektrik iaitu sebagai transition fuel terutamanya dengan kemasukan loji-loji janakuasa berasaskan gas bagi menggantikan loji-loji janakuasa arang batu yang akan tamat tempoh perkhidmatannya.
