KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan kerana disyaki menyeludup petrol di pangkalan haram Gergaji di Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata remaja itu ditahan pasukan Batalion 9 PGA dalam rondaan Op Taring Wawasan Kelantan setelah dikesan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di kawasan pangkalan haram tersebut pada kira-kira 11 pagi.

"Pemeriksaan lanjut menemukan lebih 40 liter petrol tanpa dokumen sah yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran, Thailand dengan anggaran nilai rampasan termasuk motosikal berjumlah RM6,082.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan hasil rampasan dibawa ke Komtak PGA Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan berasingan, Nik Ros Azhan berkata pihaknya turut menumpaskan kegiatan penyeludupan produk kosmetik disyaki dari Thailand untuk pasaran tempatan bernilai RM20,000 di pangkalan haram Posmen, Rantau Panjang, Isnin lepas.

Beliau berkata anggotanya menjumpai beberapa kotak di kawasan pangkalan haram tersebut semasa membuat rondaan Op Taring Wawasan Kelantan pada kira-kira 3 petang.

"Rampasan produk kosmetik tanpa dokumen sah itu akan disiasat di bawah Seksyen 7(1)(E) Peraturan-Peraturan Dadah dan Kosmetik," katanya.

-- BERNAMA