Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata serbuan pada 5.30 pagi itu dijalankan atas maklumat yang diperoleh pasukannya menerusi Op Taring Wawasan.
"Hasil pemeriksaan di sebuah rumah PGA menjumpai dua lelaki dan empat wanita termasuk empat kanak-kanak disyaki warga Myanmar.
"Kesemua suspek gagal menunjukkan dokumen perjalanan masuk ke Malaysia yang sah dan disyaki diseludup masuk melalui jalan yang tidak diwartakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang juga pemilik rumah dan disyaki menjadi tekong untuk menyeludup masuk semua warga asing berkenaan ke negara ini.
"Kesemua warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 manakala tekong terbabit ditahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya," katanya.
-- BERNAMA