Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan itu dilakukan selepas sepasukan anggota Batalion 8 mengesan sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sekitar 12.20 tengah malam ketika menjalankan tugas dalam Op Taring Wawasan Kelantan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap lori itu mendapati lebih 2,000 anak pokok bunga pelbagai jenis seperti Willow, Lavender, Texas Sage, Oleander dan lain-lain, yang dipercayai diseludup dari Thailand.
"Tanaman tersebut disyaki membawa serangga perosak dan penyakit," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata pemandu lori berusia 37 tahun yang ditahan dipercayai bertindak sebagai penghantar tanaman tersebut untuk diseludup ke pasaran tempatan.
"Semua barang rampasan bersama suspek telah dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976," katanya.
-- BERNAMA