IPOH: Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta menahan tiga individu termasuk dua warga Myammar di sebuah kilang di Simpang Ampat, Pulau Pinang tiga hari lepas, yang dipercayai menjalankan aktiviti kitar semula sisa elektronik (e-waste) tanpa lesen dengan nilai rampasan RM106.7 juta.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, SAC Shahrum Hashim berkata, hasil pemeriksaan mendapati kilang tersebut telah beroperasi tanpa sebarang lesen mahupun surat kelulusan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), serta menggajikan dua pekerja warga asing termasuk seorang wanita yang tidak memiliki dokumen yang sah.

Beliau berkata, antara yang dirampas adalah sisa e-wasta yang dianggar bernilai RM60.5 juta, bijih besi kira-kira RM2.5 juta, pelbagai mesin sekitar RM43 juta, serta jentera berkaitan yang dianggarkan RM750,000.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bersama Seksyen 18 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya dalam kenyataan hari ini. - BERNAMA