PETALING JAYA: Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM) bakal memperkenalkan Kejohanan Wanita 2025 buat pertama kali dalam kalendar jelajahnya yang dijadual berlangsung di  The Mines Resport Golf Club, Seri Kembangan, dari 5 hingga 7 Ogos ini.

Pengurus Besar PGM, Nik Mustapha Nik Mohamed, yang menyifatkan kejohanan itu sebagai istimewa, berkata ia terbuka kepada pemain profesional dan amatur dengan jumlah hadiah keseluruhan RM300,000

Jumlah hadiah adalah tertinggi dalam kalendar Jelajah PGM tahun ini selepas Masters Selangor PKNS menawarkan hadiah USD200,000 (RM889,400).

"Penaja berhasrat menggalakkan lebih ramai pemain wanita menceburi golf profesional dan insentif ini pasti memberi dorongan kepada pemain,"katanya pada majlis pelancaran kalendar Jelajah PGM 2025 di Kelab Golf Seri Selangor di sini semalam.

Katanya PGM menyasarkan 50 hingga 60 penyertaan termasuk 20 pemegang kad jelajah serta lebih 20 pemain amatur.

Nik Mustapha turut mengesahkan format kejohanan masih mengekalkan stroke play, namun pusingan kelayakan bergantung kepada pihak penaja.

PGM juga berhasrat memperluaskan kejohanan ini pada masa hadapan dengan menarik penyertaan dari peringkat serantau, katanya.

Sebanyak 12 kejohanan dijadualkan dalam kalendar Jelajah PGM 2025 bermula Januari hingga November tidak termasuk tempoh Ramadan (Mac) dengan jumlah hadiah keseluruhan RM2.21 juta.

Sepuluh daripada kejohanan itu turut menampilkan kategori wanita, termasuk Trofi Tun Ahmad Sarji, Kejohanan Tertutup PGM Pulau Pinang, PGM Diraja Pahang, Port Dickson dan Kejohanan Tertutup PGM Palm Resort.

-- BERNAMA