Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Husin berkata dengan adanya PRC berkenaan ia memberi nilai tambah dalam membantu pesakit kanser payudara mendapatkan rawatan yang lebih holistik.
Beliau berkata penubuhan PRC itu turut mendapat kerjasama Canser Research Malaysia (CRM) yang memberi sumbangan infrastruktur termasuk peralatan pengesan kanser dan jururawat khas yang berkemahiran dalam penyakit berkenaan.
"Selain di HRPZ II, PRC ini turut terdapat di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Petani, Kedah. Ia beroperasi lima hari seminggu bermula 8 pagi hingga 5 petang.
"PRC ini turut menawarkan khidmat sesi kaunseling, pemeriksaan oleh pakar, ultrasound kanser payudara, mamogram serta biopsi. Khidmat yang ditawarkan ini tidak perlu mendapatkan tarikh janji temu sebaliknya orang ramai hanya perlu walk-in," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sambutan Hari Kanser Sedunia 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Auditorium Kompleks Rawatan Harian HRPZ II di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi dan Pengasas Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata CRM turut menyediakan dua jururawat yang berkemahiran untuk mendidik serta membawa pesakit kanser mendapatkan rawatan.
"Sebelum ini kita tiada jururawat khusus untuk membantu serta membimbing pesakit kanser mendapatkan rawatan. Sebagai contoh, sekiranya pesakit tidak hadir untuk mendapatkan rawatan mereka diberi amaran peringatan dan jururawat akan ke rumah sekiranya perlu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata jumlah pesakit kanser di Kelantan semakin meningkat dengan 1,616 pesakit dikesan pada 2023 meliputi kanser payudara, usus dan paru-paru berbanding 1,468 pesakit pada 2022.
"Daripada data yang diperoleh, 30 hingga 40 peratus mereka yang mendapatkan rawatan merupakan penghidap kanser tahap satu dan dua, dengan kanser payudara merupakan penyumbang tertinggi di negeri ini," katanya.
-- BERNAMA
