KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan sumbangan kepada seorang warga emas wanita yang cekal menghadapi kehidupan meskipun menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan kaki bengkak akibat komplikasi kesihatan lain.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi kepada warga emas yang dikenali sebagai Binnammal A/P Kuttan, 85, di kediaman wanita itu di Semambu, Kuantan, Pahang dalam siri Ziarah MADANI baru-baru ini.

"Dalam pertemuan ini, saya mendengar kisahnya, memahami kesukaran yang dihadapi dan berkongsi sedikit keprihatinan. Sebagai tanda sokongan, saya menyampaikan sumbangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi membantu meringankan beban beliau.

"Semoga auntie Binnamal terus diberi kesihatan dan kekuatan dalam menempuh hari-hari mendatang," kata Ahmad Farhan dalam hantaran menerusi Facebook malam ini, yang turut dikongsikan Anwar.

-- BERNAMA