KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan sumbangan kepada seorang nelayan di Kampung Cherating Baru, Kuantan, yang tetap tabah menyara keluarga walaupun meraih pendapatan tidak menentu sekitar RM1,300 sebulan.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan sumbangan kepada nelayan Mustafa Muda di Kampung Cherating Baru, Kuantan.
  • Sumbangan termasuk wang tunai dan kerja-kerja baik pulih rumah Mustafa yang uzur akan segera dilaksanakan.
  • Bantuan ini diharapkan dapat meningkatkan kesejahteraan hidup keluarga Mustafa.


Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi kepada Mustafa Muda, di kediaman nelayan itu di Pahang baru-baru ini.

Ahmad Farhan menerusi hantaran Facebook beliau hari ini berkata kerja-kerja baik pulih rumah Mustafa akan segera dilaksanakan, agar keluarganya dapat tinggal dengan lebih selesa dan selamat.


Beliau berkata rumah yang didiami Mustafa dan keluarga semakin uzur dengan keadaan dinding mereput, atap bocor dan lantai yang uzur.

"Saya juga menyampaikan sumbangan wang tunai daripada Perdana Menteri sebagai tanda sokongan kepada keluarga ini. Mereka tidak meminta kemewahan, hanya sebuah tempat berteduh yang lebih nyaman.

"Semoga bantuan ini menjadi langkah awal ke arah kehidupan yang lebih sejahtera buat mereka sekeluarga," kata Ahmad Farhan dalam hantaran Facebook hari ini, yang turut dikongsikan Anwar.

-- BERNAMA