LONDON: Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan lawatan kerja hari kedua di London, United Kingdom (UK) dengan mengadakan sesi meja bulat kapten-kapten industri tempatan pada pagi Khamis, waktu tempatan.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sesi meja bulat dengan kapten-kapten industri tempatan di London, membincangkan isu ekonomi dan pelaburan bersama 15 syarikat dari pelbagai sektor.
  • Anwar akan menyampaikan ucap tama pada majlis pelancaran InvestMalaysia dan mengadakan mesyuarat meja bulat dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) pada sebelah petang.
  • UK merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Eropah dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara mencapai RM15.30 bilion sehingga November 2024.


Pada sesi tersebut, Perdana Menteri membincangkan pelbagai isu berkaitan ekonomi dan pelaburan bersama 15 syarikat terlibat.

Sesi yang berlangsung selama kira-kira 45 minit itu melibatkan pelbagai sektor antaranya pelaburan, pakar pasaran baru muncul, pengurusan aset, dan kewangan.

Antara syarikat terlibat ialah Amundi Asset Management, Ashmore, Colchester Global Investors, JPM Asset Management UK, serta Ninety One UK Ltd.

Perjumpaan bersama kapten industri turut disertai menteri-menteri kabinet, antaranya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Anwar kemudian akan menyampaikan ucap tama pada majlis pelancaran InvestMalaysia di sebuah hotel, di sini.

Dalam masa sama, pada sebelah petang, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual mengadakan mesyuarat meja bulat bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). 

Ia antaranya melibatkan Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Khazanah Nasional Berhad, serta Permodalan Nasional Berhad.

Anwar ketika ini dalam rangka kerja rasmi selama lima hari ke London, UK atas jemputan rakan sejawatannya, Keir Starmer.

UK merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Eropah dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara adalah RM15.30 bilion (US$3.34 bilion) sehingga November 2024.