BRUSSELS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyentuh isu-isu perdagangan, Timur Tengah dan krisis Rusia-Ukraine semasa lawatan ke Belgium bermula Ahad.

Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak berkata pandangan dan pendirian Malaysia dijangka disampaikan semasa pertemuan dengan pemimpin Belgium dan Kesatuan Eropah (EU).

"Perkembangan di Palestin dijangka disentuh semasa lawatan ini. Kerajaan Belgium pun bersimpati dengan apa yang berlaku di Gaza," katanya pada sidang media bersempena dengan lawatan sulung Anwar sebagai Perdana Menteri ke Belgium.

Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Anwar, yang dijangka tiba di Brussels pada petang Ahad, akan bertemu dengan Alexander De Croo, Perdana Menteri sementara Belgium pada Isnin.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha-usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan seperti pendidikan tinggi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Semasa di Brussels, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan pihak EU yang dimulakan dengan sesi perjumpaan bersama Kaja Kallas, Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan/Naib Presiden Suruhanjaya Eropah (HRVP).

Ia akan disusuli dengan pertemuan empat mata antara Perdana Menteri dengan Pengerusi Majlis Eropah Antonio Costa di Bangunan Europa.

Mohd Khalid Abbasi berkata pertemuan dengan pihak EU akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai bidang kerjasama, seperti isu kemampanan, Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama antara Malaysia dengan Kesatuan Eropah (MEUPCA), dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUFTA).

Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri akan mengambil peluang melalui lawatan kerja ini untuk mengetengahkan keutamaan Malaysia dalam hala tuju Kepengerusian Malaysia yang bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan", kata beliau.

Pada sebelah petang Isnin, Anwar akan menyampaikan ucaptama bertajuk Bridging Regions: Strengthening Southeast Asia-European Resilience di College of Europe (COE) bertempat di Bruges.

Kolej itu yang merupakan institusi tertua bagi pengajian Eropah dan antara institusi pengajian Eropah yang tersohor, telah mengehoskan tokoh-tokoh terkemuka seperti Margaret Thatcher, Xi Jinping, Angela Merkel dan Frank-Walter Steinmeier sebelum ini.

Rektor College of Europe Federica Mogherini yang juga bekas Menteri Luar Itali akan menjadi moderator pada sesi berkenaan.

Pada hari pertama lawatan beliau (Ahad), Anwar akan menghadiri Majlis Minum Petang dan Ramah Mesra bersama kira-kira 200 rakyat Malaysia yang menetap di Belgium dan Luxembourg.

Beliau juga akan mengadakan perjumpaan dengan Presiden Majlis Islam Belgium, satu-satunya badan pertubuhan rasmi Islam di negara itu.

Terdapat hampir satu juta umat Islam di Belgium, kebanyakannya berketurunan Maghribi.

-- BERNAMA