Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir Program Ihya' Ramadan di MOSTI, Putrajaya, dan mengadakan mesyuarat serta mengikuti tazkirah.
- Program Ihya' Ramadan bertujuan menjadikan Ramadan sebagai madrasah rohani, dengan Anwar mengunjungi pelbagai kementerian dan menyampaikan tazkirah.
- Anwar akan turun ke beberapa negeri sepanjang Ramadan untuk memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri serta bertemu masyarakat dalam Majlis Berbuka Puasa MADANI.
Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan pada 12.10 tengah hari diiringi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta timbalannya Datuk Mohammad Yusof Apdal.
Perdana Menteri memulakan program tersebut dengan mengadakan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi MOSTI bagi mengenal pasti isu dan membincangkan hala tuju sepanjang tahun 2025.
Perdana Menteri kemudian meluangkan masa mengikuti tazkirah yang disampaikan Prof Madya Muhammad Nazir Mohammed Khalid bertajuk "Ramadan Bulan al-Quran: Tadabbur al-Quran Tafakkur Alam" mengenai bukti dan petanda sains dalam kitab suci al-Quran.
Usai tazkirah, Anwar menyertai warga MOSTI umtuk menunaikan solat Zuhur berjemaah.
Perdana Menteri melaksanakan rangka Program Ihya' Ramadan sepanjang bulan Ramadan bertujuan menjadikan Ramadan sebagai madrasah rohani, bukan sahaja dalam aspek ibadah, tetapi juga pembentukan nilai dan akhlak dalam pentadbiran negara.
Beliau akan mengunjungi pelbagai kementerian untuk menyantuni penjawat awam, diikuti dengan sesi tazkirah ringkas yang disampaikan oleh beliau sendiri serta penceramah jemputan.
Perdana Menteri juga bersetuju untuk turun ke beberapa negeri sepanjang bulan Ramadan ini bagi memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, selain bertemu masyarakat dalam Majlis Berbuka Puasa MADANI.
Butiran lanjut mengenai tarikh dan lokasi spesifik bagi setiap majlis akan diumumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi kerajaan.
-- BERNAMA
