Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap kerjasama antara Petronas dan Petrovietnam di kawasan sempadan maritim dapat dimeterai pada Mei ini, melibatkan pelaburan bernilai berbilion ringgit.
- Kerjasama ini akan mempercepat aktiviti di sektor huluan dan hiliran, gas, dan tenaga boleh baharu, termasuk penjanaan kuasa dan sambungan grid dari Vietnam ke Malaysia.
- Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Vietnam pada 2024 meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada US$18.14 bilion, mencerminkan peningkatan dagangan antara kedua-dua negara anggota ASEAN.
Beliau berkata kerjasama melibatkan pelaburan bernilai berbilion ringgit itu bakal memberi pulangan yang baik kepada kedua-dua negara.
"Kita akan selesaikan, maknanya perjanjian (antara Petronas dan Petrovietnam) diharap dapat dimeterai pada Mei (ini)," kata Anwar kepada media Malaysia selepas menyampaikan ucap tama pada forum ASEAN Future Forum kedua anjuran Kementerian Luar Vietnam, di sini, hari ini.
Turut hadir pada forum dua hari itu yang berakhir hari ini adalah Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon dan juga Presiden Timor-Leste Jose Ramos Horta.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz turut menyertai delegasi lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Vietnam dan terlibat dalam mesyuarat bersama sarapan (breakfast meeting) dengan delegasi Vietnam.
Terdahulu menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Anwar berkata, Petronas dan Petrovietnam akan mempercepat kerjasama dalam sektor tenaga di Vietnam, merangkumi aktiviti di sektor huluan dan hiliran, gas dan tenaga boleh baharu.
Menurut beliau, syarikat minyak kedua-dua negara itu sedang giat menggerakkan kerjasama dalam penjanaan kuasa dan sambungan grid dari Vietnam ke Malaysia dengan memfokuskan kepada sektor tenaga boleh baharu.
Pada sidang media tersebut Perdana Menteri juga tidak menolak kemungkinan inisiatif Grid Tenaga ASEAN itu berkemungkinan akan turut merangkumi selatan Filipina.
"Grid Tenaga ASEAN yang sepatutnya (dirancang) dari Vietnam, sama ada dari dasar laut Kelantan dan terus ke selatan ataupun dari darat ke negara-negara Kemboja, Laos dan Thailand dan Semenanjung Malaysia terus ke Singapura dan jaringannya ke Indonesia, Sarawak dan Sabah dan mungkin sehingga ke selatan Filipina. Dan sebab itu hubungan kita dengan Vietnam agak kritikal," katanya.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Vietnam pada 2024 meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada US$18.14 bilion (RM83.11 bilion) daripada US$17.38 bilion pada tahun sebelumnya, mencerminkan peningkatan dagangan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu.
Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia pada 2024 yang menyumbang 2.9 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.
Negara itu juga merupakan destinasi eksport ke-10 terbesar Malaysia dengan sumbangan sebanyak 3.6 peratus selain menjadi sumber import ke-13 terbesar atau 2.1 peratus daripada import Malaysia.
-- BERNAMA
