Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa sedih atas tragedi nahas udara di Lapangan Terbang Nasional Reagan, Washington, D.C., yang berlaku pada malam Rabu.
- Beliau menyatakan kehilangan atlet luncur ais muda dan berbakat amat memilukan, dan berharap agar keluarga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan.
- Pihak berkuasa AS percaya tiada mangsa yang terselamat dalam perlanggaran tersebut, yang melibatkan sebuah pesawat komersial dengan 64 penumpang dan sebuah helikopter tentera.
Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata kehilangan atlet luncur ais muda dan berbakat yang memiliki masa depan cerah, amat memilukan.
"Keluarga dan sahabat handai di Amerika Syarikat (AS), Rusia, China, Filipina, dan Jerman kini meratapi pemergian insan tersayang, sementara pasukan penyelamat terus berusaha gigih dalam operasi mencari dan menyelamat," kata beliau.
Dalam saat kedukaan ini, Anwar berharap agar keluarga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi kehilangan yang amat besar ini.
"Rakyat Malaysia turut bersimpati dan mendoakan mereka," tambahnya.
Menurut laporan media, pihak berkuasa AS percaya tiada mangsa yang terselamat dalam perlanggaran di udara berhampiran Washington yang melibatkan sebuah pesawat komersial dengan 64 penumpang serta sebuah helikopter tentera.
Nahas tersebut, yang meragut nyawa 14 atlet luncur ais muda dari AS, ahli keluarga mereka, serta jurulatih dari Rusia, membabitkan sebuah pesawat American Airlines dan sebuah helikopter Black Hawk yang membawa tiga anak kapal.
-- BERNAMA