IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak tertentu yang mempertikaikan usaha kerajaan dalam membantu membangunkan semula Gaza.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak tertentu yang mempertikaikan usaha kerajaan dalam membantu membangunkan semula Gaza.
  • Anwar menegaskan bahawa tindakan menentang usaha membangunkan Gaza tidak selaras dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya sentiasa menghulurkan bantuan kepada saudara seagama.
  • Beliau juga menyatakan bahawa masalah dalam negara tidak mungkin selesai sepenuhnya, tetapi usaha membantu Gaza tetap perlu dilakukan.


Beliau berkata tindakan menentang usaha membangunkan Gaza itu tidak selaras dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya sentiasa menghulurkan bantuan terutama kepada saudara seagama mengikut keupayaan.

Anwar berkata apa sahaja keputusan yang dilakukan beliau ketika ini dianggap kontroversi bagi sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan.

"Satu pihak ini dia kata main-main. Ini (bantuan kepada Gaza) jumlah dia ratus juta. Ada pula golongan yang kononnya cerdik, pemimpin-pemimpin lama dahulu, ada satu orang kata ini sekolah kita pun tak selesai, nak tolong orang lain.

"Ini perasaan hati manusia yang bagaimana ini? Kita tolong orang kampung lain, orang boleh kata kampung kamu pun belum selesai, tetapi dalam Islam dia tidak pernah fikir begitu...kesengsaraan yang dihadapi oleh umat Islam, Gaza, Palestin, Arab ini jarang berlaku," kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat sebelum menunaikan solat Jumaat bersama jemaah Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Perdana Menteri berkata sejak Perang Dunia Kedua hingga kini, insiden di Gaza merupakan malapetaka yang paling dahsyat menimpa umat Islam dan manusia, apabila Palestin hancur lebur dan terus dihina tanpa diberikan sebarang pengiktirafan.

"Anak kecil, wanita, sekolah, habis dimusnahkan dan apabila kita nak tolong sedikit, apa jawapan mereka? Nak selesaikan masalah (dalam negara).

"Saudara, sampai kiamat pun masalah-masalah dalam negara tidak mungkin selesai, ada sahaja yang kurang di mana-mana, tetapi kita lakukan sedikit," kata beliau.

Semalam, media melaporkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz menyarankan kerajaan agar memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu sebelum menyatakan komitmen untuk membangunkan semula Gaza.

Sebelum ini, Anwar berkata Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza.

-- BERNAMA