Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur semua pihak agar tidak menyentuh isu 3R (agama, kaum, Raja) untuk menjaga keharmonian negara.
- Beliau mengingatkan pentingnya sikap hormat-menghormati dan kasih-sayang dalam masyarakat.
- Anwar menekankan kepentingan prinsip rukun negara sebagai asas perpaduan yang harus diamalkan oleh semua rakyat.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memberitahu bahawa Anwar menegaskan tindakan atau pertuturan yang menyentuh isu 3R hanya akan menggugat keharmonian negara.
Jelas Perdana Menteri, perkara yang menyentuh sensitiviti agama, kaum, dan Raja tidak seharusnya berulang.
"Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar mengelakkan polemik 3R dalam sebarang bentuk kenyataan atau tindakan serta mengutamakan sikap hormat-menghormati dan kasih-sayang dalam hidup bermasyarakat," kata Tunku Nashrul dalam Taklimat Harian oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Selasa.
Tunku Nashrul menambah, Perdana Menteri juga menekankan kepentingan seluruh rakyat untuk mendakap kemas prinsip rukun negara selaku asas perpaduan yang harus dihayati dan diamalkan.
Menurut Perdana Menteri, semua rakyat perlu bersama mempertahankan keharmonian dan menolak usaha serta tindakan yang boleh memecah belah perpaduan nasional.
