Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, saranan itu susulan lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia yang dijadual akan berlangsung pada hari sama.
“Ada cadangan daripada beberapa pesawah dari utara mahu datang ke Putrajaya esok (Isnin). Esok kita ada tamu negara, Presiden Prabowo, atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan saya.
“Saya tidak menghalang ada pertemuan mahu serah tuntutan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, tapi tetapkanlah pada masa yang sesuai. Saya tidak setuju jika perhimpunan ini mengganggu perjalanan urusan lawatan rasmi negara.
"Itu peringatan saya dan saya telah minta supaya Ketua Polis Negara membantu mengawal tapi kalau boleh elakkan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas syarahan Islam: The Covenants Fulfilled oleh Syed Muhammad Naquib, di sini, pada malam Ahad.
"Saya minta rakan-rakan pesawah yang mahu datang, kalau ada hal yang dimusykilkan atau dituntut, saya sedia menghubungi Menteri Datuk Seri Mohamad Sabu untuk mendengar, menemui dan mengambil memorandum," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memohon penyerahan memorandum membabitkan 1,000 pesawah di Putrajaya pada Isnin ditunda ke tarikh lain susulan lawatan Presiden Prabowo.