Jurucakap kerajaan Jirayu Houngsub berkata, isu pencemaran PM2.5 akan menjadi fokus mesyuarat kabinet selepas Paetongtarn kembali dari Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, pada hujung minggu ini.
Tambah beliau, ini berikutan krisis pencemaran yang semakin meningkat yang telah merentasi sempadan negara.
Dalam pada itu, Menteri Luar Negeri, Maris Sangiampongsa diminta untuk mengadakan perbincangan dengan negara Asean bagi mencari kerjasama serantau untuk menangani krisis ini di bawah rangka kerja serantau sedia ada.
Agensi-agensi utama, termasuk Jabatan Kawalan Pencemaran, Agensi Pembangunan Teknologi Geo-Informatik dan Angkasa (Gistda) dan Kementerian Perindustrian, akan melaporkan perkembangan terkini menangani masalah jerebu serta meningkatkan kualiti udara.
Perdana Menteri juga akan mengeluarkan arahan tambahan untuk menangani krisis jerebu, dengan memberi tumpuan kepada pengurusan kebakaran hutan di taman-taman negara dan menangani pembakaran pertanian.
Sementara itu, di Bangkok dan wilayah sekitarnya, kerajaan akan menugaskan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), Jabatan Pengangkutan Darat, Polis Diraja Thai dan Kementerian Dalam Negeri untuk menangani pencemaran udara.