TAPAH: Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis berkait isu aktiviti mencampur beras putih import (BPI) dan beras putih tempatan (BPT) seperti dalam kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).


Ringkasan AI
  • Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis mengenai aktiviti mencampur beras putih import (BPI) dan beras putih tempatan (BPT) berdasarkan kajian MARDI, mendesak siasatan segera ke atas semua pihak yang terlibat.
  • Pengerusi PN Parlimen Tapah, Abd Muhaimin Malek, menyifatkan tindakan mencampur beras sebagai pengkhianatan kepada negara dan mengkritik reaksi kerajaan yang dianggap sambil lewa dalam menangani isu ini.
  • Setiusaha Pemuda Pas Perak, Nurhafizul Badrul Hisham, mendesak kerajaan untuk mendedahkan dalang dan syarikat yang terlibat dalam aktiviti tersebut serta membawa mereka ke muka pengadilan.


Laporan dibuat pimpinan PN Parlimen Tapah pada Ahad itu antara lain mendesak siasatan segera dilakukan ke atas semua pihak yang terlibat.

Pengerusi PN Parlimen Tapah, Abd Muhaimin Malek berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu boleh disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada negara kerana mencetuskan polemik kehilangan beras putih tempatan di pasaran.

Menurutnya, ketika ini reaksi kerajaan terhadap perkara itu agak mengecewakan, menunjukkan sikap sambil lewa dalam menangani penipuan oleh pihak kartel beras.

"Kenyataan 'bagai melepaskan batuk di tangga' dengan mengatakan tidak ada peruntukan perundangan untuk mendakwa mereka yang terlibat dengan salah laku mencampurkan beras putih tempatan ke dalam kampit beras import adalah satu kenyataan tidak bertanggungjawab daripada sebuah kerajaan.

"Walhal Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen daripada kerajaan yang sama sebelum ini telahpun menyenaraikan peruntukkan di dalam undang-undang negara yang boleh digunakan.

"Ini termasuklah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) dan Akta Makanan 1983 serta akta lain seperti Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Penipuan), Akta Kawalan Belakan 1961 (Penipuan Label) dan Seksyen 18(1) Akta Perdagangan Dalam Negeri 2020 (Salah Nyata Harga)," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini.

Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah itu berkata, kerajaan seharusnya lebih serius, berpihak dan agresif dalam menjaga kepentingan rakyat, lebih-lebih lagi beras adalah keperluan makanan utama di negara ini.

"PN Tapah mengambil tanggungjawab untuk membuat laporan polis bagi mewakili seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Terdahulu media melaporkan, kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import daripada 5,000 sampel yang dianalisis MARDI disahkan bercampur dengan beras putih tempatan.

Kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024 dengan sampel beras diterima daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diambil daripada pengilang.



Sementara itu, Setiusaha Pemuda Pas Perak, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, kerajaan secara telus perlu mendedahkan dalang dan syarikat yang terlibat dalam aktiviti tersebut untuk di bawa ke muka pengadilan.

"Beras yang sepatutnya boleh dibeli pada harga RM26, mereka peket dalam beras import dan jual pada RM40 ke RM45.

"Mereka terus kaya raya, orang susah di bawah terus tertekan. Jadi kita desak kerajaan dan pihak polis, carilah kot mana pun, mereka ini perlu diadili," katanya. -- Sinar Harian