Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Azmin Ali menerusi kemas kini di media sosial memaklumkan, perbincangan produktif telah dijalankan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, bagi membantu masyarakat perniagaan mewujudkan persekitaran perniagaan yang proaktif demi menjamin pertumbuhan dan kemampanan ekonomi Malaysia.
Kata Azmin, FMM menyatakan penghargaan kepada dasar dan kebijakan Muhyiddin yang melaksanakan pakej rangsangan ekonomi, khususnya dasar moratorium dan subsidi gaji dalam usaha memacu pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID19.
"Antara perkara yang dibincangkan ialah sistem percukaian SST yang tidak berkesan dan membebankan, kos perniagaan semakin tinggi, nilai ringgit yang tidak mengukuh dan menyumbang kepada kos import khususnya intermediate goods.
"Selain itu, turut dibincangkan ialah keupayaan SME khususnya MSME untuk memacu kebangkitan dalam persekitaran yang sukar, kadar tarif baru elektrik dan rationalisasi subsidi petrol yang memberi kesan langsung kepada pengguna dan rakyat, dasar perdagangan Trump 2.0 yang perlu ditanggani secara holistik, dan pelbagai isu yang menekan pemain-pemain industri dalam pelbagai sektor.
"PN mendengar dan kami merasai denyutan nadi golongan “maha kerja” yang telah berdekad menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan industri negara," katanya mengenai pertemuan semasa sambutan Tahun Baharu Cina yang berlangsung pada Jumaat.
Turut serta dalam perbincangan adalah Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Jidin.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)