PHNOM PENH: Perubahan iklim semakin mengancam keterjaminan makanan Malaysia, dengan corak cuaca tidak menentu dan peningkatan suhu global menjejaskan sektor pertanian.

Ketika pengeluaran makanan dalam negara berdepan risiko yang semakin meningkat, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan Malaysia serta rantau ini kekal terdedah kepada ancaman perubahan iklim, sekali gus memerlukan kerjasama serantau bagi menangani kemungkinan kekurangan bekalan makanan.

"Kita mempunyai stok beras yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya enam bulan. Tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku akibat perubahan iklim, jadi keterjaminan makanan adalah penting.

"Kita perlu bekerjasama dengan negara lain di rantau ini untuk memastikan keterjaminan makanan kita. Pengeluaran padi kita sebelum ini ialah 71 peratus tetapi kini hanya 56 peratus.

"Kira-kira 20,000 hektar sawah padi telah ditukar kepada projek perumahan dan generasi muda enggan bekerja di sawah kerana pendapatan yang rendah," katanya kepada Bernama di Phnom Penh.

Mohamad Sabu mengadakan lawatan dua hari ke negara itu pada akhir Februari bagi mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya, Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja Dith Tina.

Antara topik utama yang dibincangkan termasuk keterjaminan makanan, import beras (terutama beras wangi), akuakultur, perikanan serta kerjasama dalam sektor pertanian.

Eksport beras Kemboja tahun lepas berjumlah 651,522 tan, dengan lebih 100,000 tan metrik dihantar ke China manakala negara ASEAN memperoleh hampir 130,000 tan metrik.

Negara itu mengeksport pelbagai jenis beras, termasuk beras wangi, beras putih, beras "parboiled" serta beras organik, dengan jenis beras wangi panjang "Sen Kro Ob" yang terkenal di peringkat global.

Malaysia mengimport kira-kira 50,000 tan metrik beras wangi dari Kemboja, sebagai sebahagian daripada 30 peratus atau 700,000 tan metrik jumlah import beras yang diperlukan untuk memenuhi keperluan negara yang hampir 2.5 juta tan metrik.

Cabaran geopolitik, dasar eksport yang tidak menentu dalam kalangan negara pengeluar beras serta keadaan cuaca yang tidak stabil boleh mengganggu bekalan di pasaran antarabangsa, sekali gus memberi kesan kepada negara pengimport.

"Kita menghadapi masalah bekalan beras di Malaysia tahun lepas, terutama apabila India menghentikan eksport beras putih ke negara lain kerana masalah dalaman mereka," katanya.

India, pengeksport beras kedua terbesar di dunia selepas China, melarang sementara eksport beras bukan basmati pada 2023 bagi membendung inflasi tinggi dan kenaikan harga makanan domestik. Bagaimanapun, kerajaan India menarik balik larangan itu tahun lepas.

Mohamad Sabu berkata Malaysia dan Kemboja tidak menandatangani sebarang perjanjian semasa lawatannya baru-baru ini tetapi mengadakan perbincangan mendalam mengenai pengeluaran beras memandangkan negara itu menghasilkan beras lima kali ganda lebih banyak berbanding Malaysia.

"Kemboja mempunyai banyak sawah padi dan menghasilkan beras berkualiti untuk dieksport. Mungkin kita boleh membeli lebih banyak pada masa depan jika perlu. Sektor perikanan mereka juga kukuh, contohnya ikan haruan, yang terdapat dalam jumlah banyak di sini," katanya.

Menurut Jabatan Kastam dan Eksais Am, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja mencecah US$780 juta sehingga November tahun lepas.

-- BERNAMA