KUALA LUMPUR: Polis masih memburu tiga lagi suspek dalam kejadian langgar lari melibatkan dua kenderaan yang dipandu secara melulu di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini, awal pagi Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata setakat ini tiada tangkapan baharu dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu supaya tampil menghubungi pihak polis.

"Sehingga kini belum ada tangkapan baharu dibuat atas kes tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Suspek yang sedang dikesan itu ialah M Devindran, 25, dengan alamat terakhir di Taman Seri Bayu Morib, Banting, Selangor; M Ranjith, 19, alamat terakhir di Lot 307, Jalan Raba, Banting dan M Lavindran, 27, alamat terakhir di Jalan Raja Nala 12, Taman Intan, Kapar, Selangor.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob berkata lima suspek kejadian berkenaan sudah ditahan Khamis lepas dan kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Azry turut memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara kumpulan suspek dan kumpulan mangsa semasa berhibur di sebuah kelab berhampiran.

Media juga melaporkan dalam kejadian itu, dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Toyota Vios dipandu secara melulu keluar dari tempat letak kereta di sebuah bangunan dan melalui jalan di hadapan pusat hiburan terbabit lalu melanggar sekumpulan lelaki yang mengakibatkan dua orang cedera.

-- BERNAMA