KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) menumpaskan kegiatan memproses sisa elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram di seluruh negara melibatkan nilai rampasan berjumlah RM3.8 bilion bagi tempoh 1 Jan 2024 hingga 17 Feb 2025.


Ringkasan AI
  • PDRM dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya menumpaskan kegiatan memproses sisa elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram dengan nilai rampasan RM3.8 bilion dari 1 Jan 2024 hingga 17 Feb 2025.
  • Sepanjang operasi, 538 individu termasuk kanak-kanak telah ditahan dan fasiliti seperti mesin pemprosesan dan kenderaan bernilai RM179.8 juta telah dirampas.
  • Kilang kitar semula yang diserbu didaftarkan atas nama warga tempatan tetapi diuruskan oleh warga China, memproses logam berharga tanpa lesen sah dan mengeksportnya ke luar negara.


Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata rampasan itu termasuk fasiliti seperti mesin pemproses, mesin penimbang berat dan mesin pemprosesan timah.

Beliau berkata sepanjang operasi itu yang melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) serta JAS, sebanyak 538 individu termasuk kanak-kanak berumur dua tahun dan individu lain berumur hingga 60 tahun telah ditahan melibatkan 90 kes.

"Operasi e-waste ini melibatkan tiga fasa, iaitu fasa pertama pada 1 Jan 2024 hingga 14 Feb 2025, fasa kedua merupakan Op Hazard yang dijalankan pada 15 Feb lepas dan fasa ketiga pada 16 hingga 17 Feb," katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar di Bukit Aman di sini hari ini.

Azmi berkata bagi Op Hazard sahaja, pihaknya bersama JAS telah merampas RM2.68 bilion e-waste dengan berat 22.9 juta kilogram (kg) dan menahan 246 individu.

"Sebanyak 47 lokasi sasaran telah diserbu menerusi Op Hazard dan polis turut merampas beberapa fasiliti seperti mesin pemprosesan, minyak, plastik, blok memasak dan kenderaan yang bernilai RM179.8 juta," katanya.

Azmi berkata kesemua yang ditahan itu akan disiasat dan boleh dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Imigresen 1959/63.

"PDRM akan terus menyiasat dan mengenal pasti dalang utama dalam kegiatan e-waste ini terutamanya warganegara asing yang bertindak sebagai pemilik dan pengendali kilang haram ini," katanya.

Ditanya mengenai modus operandi sindiket yang melakukan kegiatan memproses e-waste itu, Azmi berkata kilang kitar semula yang diserbu didaftarkan atas nama warga tempatan, tetapi diuruskan secara proksi oleh warga China.

Beliau berkata seterusnya, mereka akan melakukan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga tanpa lesen yang sah daripada JAS.

"Sisa e-waste mengandungi logam berharga seperti emas, perak, tembaga, platinum dan palladium yang mempunyai nilai kitar semula tinggi yang akan diproses menjadi bentuk jongkong seperti besi, timah dan tembaga sebelum dieksport ke luar negara," katanya.

-- BERNAMA