Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata antara kejayaan terbesar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor adalah rampasan dadah dan sitaan bernilai RM12.62 juta menerusi Op Jaring 12 dengan menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa melibatkan penahanan 14 warga asing, pada 29 Mei 2024.
Beliau berkata JSJN juga telah menjalankan 21,093 serbuan dengan melibatkan pemeriksaan 46,878 individu.
"Sebanyak 25,065 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah iaitu pencapaian ketiga tertinggi negara dengan rampasan 7.3 tan dadah bernilai RM99.76 juta, yang boleh digunakan kira-kira 3.6 juta penagih
"Kita (Polis Kontinjen Johor) sentiasa komited dan agresif dalam melaksanakan operasi secara berterusan bagi membanteras sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata pihaknya memfokuskan kepada lokasi hotspot termasuk kawasan Felda, ladang swasta, jeti nelayan, projek perumahan rakyat (PPR), rumah kos rendah serta terminal bas dan teksi bagi mengekang kegiatan penyalahgunaan dadah, melalui Op Pemutihan dan Op Tapis di setiap daerah.
"Susulan itu, kita berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah tempatan melalui Op Jaring dengan rampasan terbesar dan sitaan bernilai RM28.58 juta serta penahanan tujuh ahli sindiket, pada 15 Okt tahun lepas.
"Selain itu, 739 individu ditahan bagi kes penagih berulang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala 139 individu bagi tindakan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985," katanya.
Beliau berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah melauli talian hotline JSJN 012-2087222.
-- BERNAMA