Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata sebanyak 88 lesen perniagaan yang terlibat dalam kegiatan itu turut dibatalkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyekat akses laman web yang terlibat bagi mengekang aktiviti judi dalam talian.
"Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam memastikan jenayah perjudian dapat dibanteras demi kesejahteraan masyarakat," katanya dalam kenyataan.
Terbaharu, operasi pemotongan bekalan elektrik dilakukan membabitkan 86 premis pada 25 dan 26 Feb lepas.
Beliau berkata operasi dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289) dengan membabitkan 64 pegawai kanan dan rendah polis, 48 petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta tujuh anggota PBT.
Kumar berkata kawasan Iskandar Puteri mencatatkan 19 premis, iaitu yang paling tinggi, diikuti Johor Bahru Selatan (14), Kota Tinggi (11), Johor Bahru Utara (10), Muar (7), Batu Pahat (6), Pontian (5), Kluang (4), Kulai (4), Segamat (3), Mersing (2) dan Tangkak (1).
"Selain pemotongan elektrik, tindakan penyitaan dikenakan terhadap tujuh premis di Muar dan satu di Tangkak. Sebanyak lapan premis turut dikenakan tindakan pembatalan lesen dalam operasi ini," katanya.
Beliau berkata pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang bentuk aktiviti perjudian dan sentiasa menjalankan pemantauan serta pemeriksaan di premis bagi membanteras kegiatan itu daripada aktif dan berleluasa.
Justeru, beliau turut menasihati semua pemilik premis untuk memastikan penyewa tidak menyalahgunakan premis bagi menjalankan aktiviti perjudian.
-- BERNAMA
