JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.58 juta dalam satu operasi di sekitar daerah ini pada 16 Feb lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata lelaki berusia 39 tahun yang dipercayai berperanan sebagai 'transporter' sindiket itu ditahan di tepi Jalan Datuk Abdullah Tahir di sini pada jam 4.30 pagi.

Beliau berkata serbuan susulan dilakukan di dua kondominium, yang membawa kepada keseluruhan rampasan dadah melibatkan 15.1 kilogram serbuk ekstasi dan 55 gram syabu.

"Kegiatan pengedaran ini dipercayai aktif sejak Januari lepas dengan menjadikan kondominium berpagar dan berpengawal sebagai tempat menyimpan serta membungkus semula dadah.

"Lelaki tersebut dipercayai tinggal di tempat lain dan menggunakan premis (kondominium) sebagai stor, yang turut disewa bukan atas nama suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan untuk memproses dan membungkus dadah serta sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM220.\

Kumar berkata hasil ujian air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata suspek telah dituduh di mahkamah hari ini atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Tan Hua Chiek, 34, beralamat di Kuching, Sarawak, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Justeru, beliau meminta bantuan orang ramai untuk tampil ke hadapan sekiranya mempunyai maklumat mengenai individu itu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang terbabit dalam sindiket berkenaan.

-- BERNAMA