KULAI: Polis sedang mengesan dua pemandu kereta yang enggan memberi laluan kepada ambulans yang dalam kecemasan membawa pesakit ke hospital di KM25, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata pihaknya telah mengesan kejadian berkenaan kira-kira pukul 2.30 petang melalui satu video yang tular di media sosial berdurasi 1 minit 26 saat dan melibatkan dua kenderaan dipandu warga tempatan.

Beliau berkata dalam kejadian itu, ambulans terbabit yang dalam kecemasan itu dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

Katanya, siasatan lanjut telah dijalankan di bawah Kaedah 9 LN166/59 dengan kesalahan tidak beri laluan kepada ambulans.

"Pengguna jalan raya diingatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas serta apabila mendengar atau melihat kehadiran kenderaan kecemasan seperti ambulans, polis dan bomba pastikan memberikan laluan dengan segera," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

-- BERNAMA