IPOH: Polis giat mengesan suspek bagi membantu siasatan berkaitan isu 3R (kaum, agama dan raja) yang mengaitkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi laman Facebook.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata pihaknya telah membuka satu kertas siasatan membabitkan komen jelek berbaur fitnah terhadap Saarani manakala satu lagi berkait teks khutbah disediakan JAIPk.

"Setakat hari ini, kita sudah terima dua laporan berhubung isu berkenaan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semalam.

"Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4 Akta Hasutan 1948," katanya.

Noor Hisam berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Tiga Ketua Polis Daerah serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Perak di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO Perak Nazirul Jamaluddin membuat laporan polis terhadap seorang individu dipercayai aktivis sebuah parti politik kerana didakwa mengeluarkan komen jelek dan fitnah pada hantaran komen di Facebook.

Selain itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim pula membuat laporan polis berhubung dakwaan teks khutbah Jumaat disediakan JAIPk dikuasai sebuah parti politik.

Pada perkembangan lain, Noor Hisam berkata pihaknya bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya meninggal dunia.

"Polis kontinjen Perak siap sedia jika PRK diadakan dan persediaan ini membabitkan jumlah keanggotaan dan aset untuk menjamin aspek keselamatan pada PRK itu selain memastikan proses demokrasi itu berjalan lancar," katanya.

Pada Sabtu, media melaporkan ADUN Ayer Kuning Ishsam Shahruddin, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola sepak di sebuah stadium di Pulau Pinang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, mengesahkan notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning telah dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.

-- BERNAMA