CHUKAI: Polis meminta orang ramai supaya berhenti menularkan video yang memaparkan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental dipukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata penularan video berkenaan di pelbagai platform laman sosial telah menimbulkan pertikaian dan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menularkan video serta memberi komen negatif yang boleh menimbulkan kegusaran terhadap masyarakat.

"Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Muhamad berkata setakat ini polis telah menahan empat lelaki berusia antara 18 hingga 60 tahun yang terlibat dalam insiden itu.

Selain itu, tiga orang saksi awam juga telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan, tambah beliau.

"Pihak polis berjanji akan menyiasat secara telus dan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam insiden berkenaan," katanya.

Sementara itu, isteri kepada lelaki OKU berkenaan, Faridah Abdul Karim berkata beliau amat sedih apabila melihat video suaminya Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, dibelasah yang disifatkan tidak berperikemanusiaan.

Faridah berkata susulan kejadian itu, suaminya mengalami kecederaan di kepala dan kini dirawat di Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

"Hancur hati saya melihat dia disepak dan dicurah dengan mee goreng di kepala.

"Suami saya sudah berulang kali meminta maaf, tetapi mereka tetap memukulnya. Jika dia benar-benar bersalah, perkara itu boleh diselesaikan secara baik, bukannya dengan cara tidak bertamadun," katanya.-- BERNAMA