Polis Pulau Pinang sedia membantu syarikat-syarikat kawalan keselamatan untuk menjalankan tapisan latar belakang calon pengawal keselamatan yang bakal ditempatkan di sekolah-sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Zakaria Ahmad berkata syarikat yang berhajat untuk menggunakan khidmat pengawal keselamatan boleh membuat permohonan kepada PDRM bagi membolehkan saringan tersebut dijalankan.

Zakaria diminta mengulas desakan oleh ibu bapa yang meminta kerajaan mengetatkan syarat lantikan syarikat kawalan keselamatan bagi memastikan kakitangan mereka, khususnya yang ditempatkan di sekolah-sekolah, supaya bebas dari rekod jenayah.

Desakan itu adalah susulan daripada penahanan seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah di Bayan Lepas berhubung pembunuhan seorang pelajar 17 tahun, Intan Suraya Mawardi, di kediaman keluarga mangsa di Teluk Kumbar pada Ahad lalu.

Sebelum ini, Zakaria dilaporkan sebagai berkata suspek berusia 21 tahun itu yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi, mengaku merogol dan membunuh mangsa kerana cemburu.

Sementara itu, Zakaria ketika dihubungi Astro Awani berkata, polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung pembunuhan tersebut sebelum menyerahkannya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Dalam kejadian pada Ahad, Intan Suraya, ditemui mati dengan kesan kelar dileher oleh bapanya di kediaman mereka sejurus pulang dari tempat kerja.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang pengawal keselamatan sekolah yang mengaku merogol dan membunuh mangsa.

Polis telah mendapat perintah tahanan reman selama seminggu ke atas suspek bermula Isnin untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.