Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata keterangan wanita berusia 38 tahun itu direkodkan di Perak dan pihaknya kini di peringkat akhir bagi melengkap kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Kita akan serahkan kertas siasatan berkenaan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Sebelum ini, Istana Pahang menafikan hantaran tular mengenai perkahwinan diraja melibatkan Tengku Hassanal dengan seorang wanita yang kononnya akan berlangsung April ini.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mej Jen Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata hantaran yang dimuat naik pengguna platform Instagram dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_l) menyaksikan wanita itu menerangkan majlis perkahwinannya dengan Tengku Hassanal.
Sementara itu, Yahaya memaklumkan pada bulan pertama tahun ini lebih RM6 juta kerugian direkodkan melibatkan 232 kes jenayah komersial berbanding 220 kes dengan kerugian RM8.7 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Berhubung Op Selamat 23 sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025, Yahaya berkata 7,074 saman dikeluarkan dengan kesalahan paling banyak adalah memandu melebihi had laju.
Beliau berkata 383 kes kemalangan direkodkan dalam operasi itu dan empat kes dicatatkan bagi kemalangan maut.
"Tahniah kepada daerah Raub yang dinobatkan sebagai Johan Daerah Terbaik seluruh Malaysia manakala Kontinjen Pahang berada pada kedudukan kelima terbaik bagi Op Selamat 23," katanya.
Yahaya berkata penilaian itu dibuat menerusi sistem Op Selamat yang mengambil kira antaranya jumlah kemalangan dan pengeluaran saman selain pengurusan advokasi serta perancangan keseluruhan kontinjen bagi menghadapi operasi itu.
-- BERNAMA