Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata dalam operasi pertama pada 4 Feb, polis berjaya menumpaskan satu sindiket pemprosesan dadah jenis serbuk jus methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), hasil beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang.
"Hasil risikan dan intipan yang dijalankan, polis berjaya menahan ketua sindiket itu di sebuah tempat letak kereta di Taman Suntex Cheras sebelum suspek membawa polis ke sebuah kondominium mewah di Cheras yang menjadi tempat penyimpanan pelbagai jenis dadah.
"Tiga lagi lelaki serta seorang wanita ditahan dalam serbuan di kondominium itu dan polis turut merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM1.45 juta, antaranya heroin base seberat 9.8 kilogram (kg), syabu (1.17 kg), heroin (233.45 gram), serbuk MDMA (131.83 gram) dan pil yaba (113.17 gram).
"Dadah yang dirampas itu dianggar boleh digunakan untuk 72,752 penagih. Selain itu polis turut menyita dua kenderaan serta tiga utas jam tangan yang dianggarkan bernilai RM36,750 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, " katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini,
Khaw berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai mula aktif dalam kegiatan mengedar dadah sejak Oktober tahun lepas dengan menjadikan pusat-pusat hiburan sekitar Lembah Klang sebagai tempat pengedaran.
"Ketua sindiket ini dan dua lagi anggota kumpulannya mempunyai lapan hingga 20 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah serta jenayah," katanya dan menambah kesemua mereka yang berumur 36 hingga 46 tahun didapati positif dadah.
Beliau berkata kesemua mereka direman empat hingga tujuh hari bermula 5 Feb lepas, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu dalam operasi berasingan pada 9 Feb lepas, Khaw berkata polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM11.43 juta susulan penahanan seorang lelaki berumur 31 tahun di tempat letak kereta sebuah kondominium di Batu Caves.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap kenderaan lelaki itu, polis menemukan lima beg berisi 50 bungkusan dadah syabu disembunyikan di tempat duduk belakang kenderaan, selain 32 bungkusan lagi disyaki dadah jenis ketamin di dalam but kereta.
"Lelaki itu kemudian telah membawa polis ke sebuah unit kondominum di situ dan hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan enam guni berisi 36 bungkusan syabu serta 139 bungkusan ketamin di ruang tamu unit kondominum itu dengan jumlah dadah dirampas dianggarkan boleh digunakan 1.02 juta penagih," katanya.
Khaw berkata siasatan awal mendapati suspek yang positif dadah ketamin itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau, menerima gaji RM10,000 daripada sindiket serta komisen RM2,000 untuk sekali penghantaran dadah kepada pelanggan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu merujuk kepada kes tembakan di sebuah pusat beli belah di Setia Alam Sabtu lepas, Khaw berkata JSJN Bukit Aman akan bekerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Polis Selangor bagi mengenal pasti rakan suspek yang terlibat.
"JSJN, JSJ dan Polis Selangor berada dalam satu bumbung... seperti satu keluarga di bawah pimpinan Tan Sri Razarudin Husain (Ketua Polis Negara) dan apa sahaja kes yang berlaku, ia saling berkaitan antara kami.. PDRM ada 10 jabatan dan semuanya mainkan peranan penting," katanya.
Siasatan awal polis sebelum ini mendapati suspek melepaskan lapan das tembakan di sebuah pusat beli-belah dipercayai kerana berang selepas ditegur pekerja pembersihan supaya mengalih barang yang diletakkan di kawasan kejadian, dan polis masih sedang memburu suspek.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)