Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin, memberitahu dalam serbuan dilakukan pada Selasa lalu, pihak polis berjaya menahan tiga lelaki berusia 41 hingga 58 tahun yang disyaki berperanan sebagai penjaga stor dan penghantar.
"Anggota kami menemui dua bungkusan teh Cina berisi serbuk kristal yang disyaki dadah syabu serta bungkusan teh Cina berisi serbuk ketulan dadah disyak jenis ketamin. Dua jenis dadah ada dalam kompaun rumah tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Tambah beliau, susulan itu anggota polis turut melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan rumah itu.
"Hasil pemeriksaan di tempat duduk penumpang belakang, barisan pertama, kami telah menjumpai 10 guni berisi 250 bungkusan teh Cina mengandungi serbuk ketulan disyaki dadah ketamin.
"Kemudian pemeriksaan di tempat duduk penumpang belakang, barisan kedua, menemui dua guni berisi sejumlah 30 bungkusan teh Cina mengandungi ketulan serbuk yang disyaki dadah ketamin dan 15 bungkusan teh Cina mengandungi serbuk ketulan disyaki dadah syabu," katanya.
Kok Chin berkata, keseluruhan dadah berbentuk serbuk dan ketulan ditemui dianggarkan seberat 571.72 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM23.67 juta.
Aktiviti sindiket berkenaan dibongkar pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selepas melakukan serbuan di sebuah rumah teres yang dijadikan stor simpanan sementara di Bandar Sri Damansara.
Selain MPV berisi dadah itu, pihaknya turut menyita tiga kenderaan mewah seperti Mercedes Benz E240, BMW 523i, Honda City, seutas jam tangan jenama mewah dan wang tunai RM163,500 dengan nilai keseluruhan sitaan RM23.81 juta.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek utama mempunyai satu rekod jenayah lampau, namun ujian saringan air kencing terhadap semua suspek didapati negatif dadah.
Sementara itu, semua suspek direman tujuh hari bermula 12 Februari lalu sehingga 18 Februari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)