Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata dalam serbuan pukul 9 pagi oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah itu menahan sebuah kenderaan dinaiki suspek di tempat letak kereta sebuah pasar raya.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat kotak besar berisi bungkusan dadah jenis syabu yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jauteh berkata hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek berusia 30 dan 33 tahun itu negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah.
"Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 7 Mac, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup," katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut juga mendapati dadah berkenaan dari Semenanjung sebelum dibawa ke Sabah untuk dihantar ke negara jiran melalui Sandakan.
-- BERNAMA
